IPOH: Kertas siasatan berhubung kes runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini sedang dilengkapkan dan polis akan menunggu jawapan daripada pihak koroner bagi tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata setakat ini pihaknya masih belum mendapat sebarang maklum balas berhubung perkara tersebut.

"Siasatan sedang dilengkapkan dan kita akan serahkan kertas siasatan kepada pihak koroner. Kita tunggu keputusan daripada koroner.

"Bila kita telah selesai siasatan maka kita akan hantar untuk pihak koroner buat keputusan. Belum dapat apa-apa lagi maklum balas, dapat keputusan nanti saya akan kongsikan.

"Tapi sehingga kini proses pencarian mangsa masih diteruskan, belum dihentikan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Perak 2020-2022, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob.

Sebelum ini, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkenaan sama ada perlu atau tidak untuk meneruskan pencarian mangsa yang masih tertimbus.

BACA: Kuari runtuh: Lengkapkan kertas siasatan, isytihar kematian - Ketua Polis Perak

Beliau berkata, mereka mahu mengambil pendekatan membantu keluarga mangsa dengan mengisytiharkan mangsa sebagai meninggal dunia supaya sijil kematian dapat dikeluarkan.

Katanya lagi, perkara itu sekali gus dapat meringankan beban keluarga bagi memudahkan proses membuat tuntutan insurans dan Perkeso kelak.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.